Tunku menaiki sebuah kereta berwarna hitam, tidak berbumbung, bernombor plet : M 4442. Kereta ini dipinjam oleh Encik Gaffar Baba daripada seorang tauke cina di Melaka.
Usaha menjejaki kereta klasik model Nash Rambler Custom Covertible 1951 seperti yang digunakan Perdana Menteri pertama,Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, ketika pengisytiharan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Banda Hilir, Melaka, 20 Februari 1956, berhasil apabila kereta itu ditemui di Ohio, Amerika Syarikat (AS).
Kereta bernilai RM171,000 itu kemudian dibeli daripada syarikat Motocar Portfolio di Ohio, AS, menerusi ejen Bumiputera yang dilantik, Faroib Enterprise Sdn Bhd dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM), yang menjejakinya sejak awal bulan lalu.
Kereta itu dibawa menerusi penerbangan kargo Federal Express dan mengambil masa selama 17 hari bermula dari tarikh pengesahan pembelian di pusat jualan di Ohio, (AS), sebelum singgah di perhentian terakhir di Subic Bay, Filipina, kelmarin.
Kereta itu akan digunakan pada perarakan konvoi kemerdekaan ke-50 bermula di Lapangan Terbang Batu Berendam ke Dataran Pahlawan di Melaka Jumaat ini dan dinaiki Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagi mengimbau kembali detik-detik bersejarah itu.
Dr Rais berkata, pada awalnya usaha mendapatkan kereta itu menghadapi pelbagai kesukaran berikutan syarikat terbabit tidak bersetuju menjual kereta terbabit kerana pernah digunakan dalam filem Superman dan menjadi rebutan banyak pihak.
“Namun, selepas rundingan dibuat, syarikat terbabit bersetuju menjualnya. Bagaimanapun, kami masih menghadapi kesukaran membawa pulang kereta terbabit termasuk mendapatkan kelulusan Kastam di Amerika, pesawat yang sesuai untuk membawa dan soal teknikal.
“Sepanjang tempoh itu juga kereta terbabit turut melalui pelbagai proses pengesahan dokumen di Detroit, Chicago Anchorage (Alaska) dan Tokyo, Jepun bagi urusan pengesahan dokumen pembelian dan pemeriksaan Kastam,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan kereta terbabit di MASkargo di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Zakiah Ahmad dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Sidek Jamil.
Selain itu, Dr Rais berkata, kereta terbabit juga akan melalui beberapa proses penyelenggaraan menyeluruh bagi memastikannya dalam keadaan sempurna ketika digunakan, termasuk mengecat semula kereta itu daripada hijau kepada warna asal pada 1956 iaitu hitam.
Ditanya mengenai harganya yang begitu mahal, Dr Rais berkata langkah membawa kereta itu adalah tepat bagi mengimbau kembali peristiwa bersejarah itu.
“Nilai warisan tidak ada harganya, Malaysia sudah memberi pelbagai kecemerlangan kepada kita.
“Apalah sangat nilai RM171,000 itu, jika dibandingkan usaha mengingati kembali rentetan sejarah yang memberi kebanggaan kepada kita dalam mengingati kepayahan pemimpin terdulu mencapai kemerdekaan,” katanya.
Kereta klasik yang dinamakan sebagai ‘Kereta Merdeka’ kali ini akan menggunakan nombor pendaftaran M4442 iaitu nombor yang sama dengan kereta yang dinaiki Tunku Abdul Rahman ketika itu.
No comments:
Post a Comment